Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan
muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini
sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini. “Dimalam itu (Lailatul
Qadr) malaikat dan ruh turun dengan izin Tuhan mereka …” (Al-Quran).
Pernah dimalam itu Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia,
Baitul Izzah. Ramadan 1429H/2008M semakin berakhir. Mukmin sejati
semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam
terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut
digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000
bulan! Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut
untuk mendapatkannya, Rasulullah saw mengasingkan dirinya dari
isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan
bermunajat kepada Allah swt sambil diikuti oleh para Sahabat ra. Firman
Allah swt bermaksud,
“Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) dalam malam Lailatul Qadr.
Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik
dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin
Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga
naik fajar” (Al-Quran).
Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa
fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah Al-Quran, berdoa, zikir,
istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri, keluarga dan
Dakwah dan sebagainya.
Tips
Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadr :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan,
kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian
agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu
semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.
2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia
ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah
swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk “Hari (Akhirat) yang tiada
gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah
dengan hati yang sejahtera” (Al-Quran).
3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk
Iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan
AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 Malam
terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak
memahaminya.
4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.
5. Jika anda bekerja dibawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan
dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda
tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid
sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu 27/9/2008 dan Ahad
28/9/2008.
6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau
assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir
Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan
mencari tiket nanti.
7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal, sebelum 10 Malam Terakhir,
agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir,
membuat kuih muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya
seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan
menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.
8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan
pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri
masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui
boleh turut membantu mencapai kearah perubahan tersebut.
Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah
di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah,
keampunan dan selamat dari api neraka. Ameen.
www.iLuvislam.com
oleh : iz muslim too
No comments:
Post a Comment